
Koperasi Persatuan TIBA (KOTIBA) dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampong (MPK) Kampong Manggis telah berjaya menganjurkan Majlis Bergotong-Royong Pembersihan Tanah Perkuburan Orang Islam Meritus Kembar, Kampong Manggis pada hari Jumaat bersamaan 06hb Februari 2026 , yang turut disertakan dengan bacaan Tahlil, dalam suasana penuh muafakat dan semangat kekitaan.
Program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk kampung, ahli koperasi serta sukarelawan setempat, yang bersama-sama berganding bahu menjayakan aktiviti pembersihan kawasan tanah perkuburan sebagai tanda keprihatinan terhadap kebersihan, kesucian serta penghormatan terhadap tempat persemadian umat Islam.
Penganjuran majlis ini bukan sahaja bertujuan untuk memastikan persekitaran tanah perkuburan sentiasa bersih dan terpelihara, malah berperanan penting dalam memupuk semangat kerjasama, tanggungjawab sosial, keprihatinan masyarakat, serta mengukuhkan hubungan silaturahim antara penduduk dan ahli koperasi.

Majlis turut diserikan dengan bacaan Tahlil sebagai tanda doa dan peringatan kepada arwah yang telah kembali ke rahmatullah, sekali gus menyemai nilai-nilai kerohanian dalam kalangan masyarakat setempat. Selain itu, majlis ini turut disempurnakan dengan penyerahan barangan wakaf oleh Pengerusi KOTIBA, Haji Matassan bin Haji Bungso, kepada Ketua Kampong Manggis, Awang Omar bin Haji Mohd. Alli.
KOTIBA tidak lupa merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada MPK Kampong Manggis, semua pihak yang terlibat, para sukarelawan, penduduk kampung serta individu-individu yang telah menyumbang tenaga, masa dan komitmen dalam menjayakan program ini.

Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan dalam membina masyarakat yang bersatu padu, prihatin, dan bertanggungjawab terhadap kebajikan bersama..
KOTIBA Fuel Station
“Bersatu Kita Tegoh”